MRA, Rohingya & Arakan - Utusan Malaysia

MRA, Rohingya & Arakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBANTAIAN manusia tanpa sifat kemanusiaan yang berlaku di Myanmar bukanlah perkara yang baharu, malah konspirasi penghapusan etnik menjadi titik tolak mengapa semua ini bermula.

Etnik Rohingya tidak pernah diakui kedudukan mereka di bumi Myanmar. Pasca pentadbiran British selepas tahun 1962 menjadikan etnik Rohingya terus menerima kecaman daripada kerajaan junta Myanmar. Pengusiran besar-besaran dari bumi Arakan menjadikan mereka terseksa dibumi sendiri, dan ketika itulah mereka memilih untuk keluar menjadi pelarian di bumi asing.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan etnik Rohingya mengalami penindasan yang sangat dahsyat dalam era baharu ketamadunan dunia!

Rundingan jujur yang sukar

Apabila dunia mula bersuara semula mengenai isu Rohingya sekitar tahun 2012, Malaysian Relief Agency (MRA) telah memulakan pelan misi kemanusiaan untuk membantu mereka yang teraniaya di sana melalui cara sangat berani dan jujur. Ketika banyak NGO dari merata dunia yang cuba masuk dan dihalau daripada melakukan kerja kemanusiaan di sana dek kerana polisi kerajaan Myanmar yang tidak stabil pada masa itu, kami memainkan langkah proaktif untuk mendekati kumpulan utama pemimpin di wilayah Rakhine pada masa itu untuk masuk melihat sendiri apa yang berlaku.

Alhamdulillah, melalui proses perundingan yang cukup berhati-hati dengan melibatkan banyak pihak utama tempatan di Rakhine, kami dapat melaksanakan bantuan kemanusiaan sekali gus menubuhkan Pejabat Operasi MRA Myanmar dengan kerjasama masyarakat tempatan di sana.

Membawa niat kemanusiaan sejagat tanpa mengira fahaman agama dan budaya, kami berjaya merubah persepsi dalam kalangan mereka yang berpengaruh di lapangan.

Apa yang paling penting adalah, segalanya harus bersifat jujur dan terbuka tanpa ada niat tersembunyi di sebalik misi yang dilaksanakan.

Sinar bumi Arakan

Kehadiran kami di bumi Arakan disambut dengan baik oleh penduduk tempatan. Bukan mudah untuk mengambil kepercayaan mereka tanpa rundingan baik. Bermula dari proses rundingan yang dikira berjaya MRA mula memberikan bantuan asas kepada etnik Rohingya yang tinggal di kem pelarian dalam negara di Aung Mingalar, Sitwe.

Bantuan yang datang diberikan sebaik-baiknya dengan mengira risiko yang bakal diambil dalam mendepani pihak-pihak yang tidak mahu bekerjasama. Bukan mudah, namun usaha yang dilaksanakan ini sedikit sebanyak memberi sinar buat etnik Rohingya pada masa itu.

Pelbagai program kemanusiaan dapat dilaksanakan terutamanya bantuan makanan dan pendidikan. Malah kami sempat melaksanakan ibadah Qurban di sana bersama-sama etnik Muslim Rohingya dan ia masih berlangsung sehingga hari ini.

Dasar persaudaraan sejagat

Ini hanyalah secebis cerita perjuangan kami buat etnik yang tersisih ini. Dalam suasana yang sangat tragik hari demi hari, kebanyakan mereka memilih untuk menjadi pelarian di luar dan ada di antaranya menjadikan Malaysia sebagai tempat berlindung daripada kekejaman.

Belayarlah mereka menuju ke laut kita dan ada yang tewas di lautan. 

Di Malaysia, kami menawarkan salam buat mereka untuk membantu meneruskan kehidupan di bumi asing. Bermula dengan bantuan perubatan ketika mereka mula-mula sampai sehinggalah membantu memberikan hak-hak pendidikan buat anak kecil pelarian ini kami usahakan di peringkat nasional. Malah kami juga berada di Cox Bazaar, Bangladesh sejak akhir 2017 untuk membantu pelarian Rohingya yang berada di sana.

MRA akan menganjurkan Malam Amal Tabung Pendidikan Rohingya pada 4 November ini  bagi mengumpulkan dana untuk menyediakan peluang pendidikan yang lebih baik kepada kanak-kanak pelarian Rohingya. Hubungi pejabat MRA di talian 03-9174 4672 atau 012-209 6577 (Fauziah Tahar) dan 012-905 7374 (Sharifah Aminah Al Khared).

“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada yang lain.”

PENULIS ialah Presiden MRA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN