LONDON – Pengurus Manchester United, Jose Mourinho menganggap keputusan seri 2-2 menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana England (EPL) di Stamford Bridge kelmarin sebagai mengecewakan.
Mourinho mendakwa skuad kendaliannya itu merupakan pasukan yang lebih baik berbanding tuan rumah memandangkan mereka bangkit daripada ketinggalan 0-1 sebelum menjaringkan dua gol.
Selain itu, beliau juga meluahkan kekecewaannya apabila pengadil perlawanan, Mike Dean memberikan enam minit masa tambahan sehingga membolehkan The Blues menjaringkan gol penyamaan.
“Kami merupakan pasukan terbaik di atas padang hari ini (kelmarin). Seperti anda semua katakan, amat sukar untuk setiap pasukan mendapatkan satu mata apabila beraksi di Stamford Bridge.
“Sebaik perlawanan berakhir, saya fikir kami merupakan pasukan malang sementara Chelsea memperoleh satu keputusan yang sangat baik kerana kami bermain lebih baik,” kata Mourinho.
Dalam pada itu, suasana menjadi sedikit tegang apabila pembantu jurulatih Chelsea, Marco Ianni melakukan provokasi terhadap Mourinho ketika meraikan gol penyamaan yang dijaringkan Ross Barkley.
Bagaimanapun, perkara itu tidak berlanjutan apabila Ianni dikatakan sudah bertemu dan meminta maaf kepada Mourinho di bilik persalinan sebaik sahaja perlawanan berakhir. – Agensi











