KUALA LUMPUR 29 Okt.- Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon hari ini menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) pada pemilihan persatuan tersebut, 18 November ini.
Mohd. Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat berkata, tawarannya itu selepas diminta oleh banyak ahli-ahli gabungan yang mahukannya menerajui KLFA.
“Saya akan cuba bantu KLFA untuk melakukan perubahan dan telah berinteraksi dengan ahli-ahli gabungan dan mereka berharst untuk melakukan perubahan.
“Saya juga berhasrat untuk membawa pulang bekas-bekas pemain Kuala Lumpur supaya mereka turut dapat menyumbang kepada pembangunan bola sepak Kuala Lumpur supaya mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Jelas Mohd. Rashid lagi, tugasnya sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang selalu berada di ibu negara tentu dapat memberikannya peluang untuk menerajui KLFA dengan lebih baik.
“Saya yakin dapat membahagikan masa dengan tugas di Dewan Rakyat dan sebagai Ahli Parlimen dan Presiden KLFA.
“Sejak dua tahun lalu saya telah menjadi Penasihat kepada pasukan Piala Emas Raja- Raja Pulau Pinang dan membantu pasukan itu menjuarai kejohanan tersebut tahun lalu selepas 15 tahun, oleh itu saya harap dapat membawa perubahan juga dalam KLFA agar boleh setanding kejayaannya dengan pasukan lain, ” katanya.
Presiden KLFA kini disandang oleh Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan – UTUSAN ONLINE










