KUALA LUMPUR 20 Okt. – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi telah membuat satu laporan polis berhubung dakwaan sebuah blog kononnya beliau menggunakan dana awam bagi perbelanjaan keluarganya ketika lawatan rasmi ke Singapura.
Anggota Parlimen Silam itu berkata, dakwaan itu adalah berniat jahat sambil menegaskan beliau menggunakan wang sendiri bagi perbelanjaan keluarga yang turut bersamanya ketika lawatan terbabit dari 2 hingga 4 Oktober lepas.
“Ia adalah satu tuduhan tidak berasas daripada blogger itu dengan tujuan yang tidak baik. Kita akan cari siapa yang membuat fitnah ini dan jika dapat kita akan ambil tindakan undang-undang,” katanya pada sidang akhbar selepas Istiadat Konvokesyen ke-14 Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), di sini hari ini.
Baru-baru ini, tulisan di sebuah blog menjadi tular dengan mendakwa keluarga Mohamaddin berbelanja barangan yang mahal ketika di Singapura sehingga kementerian terpaksa menanggung bayarannya.
Selain itu, blog itu turut mendakwa Mohamaddin tidak melakukan tugasnya sebagai menteri ketika lawatan rasminya yang lain ke luar negara dan menyerahkan tugasnya kepada pegawai yang mengiringi.
“Dalam situasi seperti itu, jika kerja itu untuk pegawai tertinggi kerajaan, menteri tidak akan campur tangan, tetapi jika kerja itu untuk menteri, saya tidak akan menyerahkannya kepada pegawai saya,” kata Mohamaddin.
Beliau membuat laporan itu di Balai Polis Presint 7, Putrajaya pada pukul 7 malam tadi.
Pada istiadat konvokesyen hari ini, seramai 94 pelajar peringkat diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah menerima pengiktirafan masing-masing.
Hadir sama dalam istiadat itu ialah Rektor Aswara, Datuk Dr. Rizon Juhari dan Ahli Lembaga Pengarah Aswara yang juga penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin. – BERNAMA










