MIROS saran pemandu ambulans diberi latihan - Utusan Malaysia

MIROS saran pemandu ambulans diberi latihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menyeru majikan sektor pengangkutan anjurkan sesi latihan dan kursus pemanduan secara berhemah bagi meningkatkan tahap keselamatan perjalanan pekerja.

Ketua Pengarah MIROS, Dr. Siti Zaharah Ishak dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini berkata, pihaknya memandang serius kadar kemalangan melibatkan ambulans yang semakin meningkat.

“Bagi mengurangkan risiko kecederaan dan kemalangan, Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran untuk Sektor Pengangkutan telah dibangunkan pada tahun 2007 oleh MIROS bersama beberapa kementerian lain. Kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya kod amalan dipatuhi.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pemandu ambulans perlu diberikan latihan khusus berhubung teknik memandu ambulans. Pendedahan kepada teknik pemanduan dan situasi-situasi yang mencabar ini dapat membantu mereka untuk memandu dengan baik,” katanya.

Menambah kenyataan itu Siti Zaharah berkata, berdasarkan siasatan-siasatan kemalangan yang telah dijalankan oleh MIROS mendapati punca kemalangan ambulans yang berlaku adalah akibat dari hilang kawalan.

“Hal seperti ini berlaku kerana ambulans perlu dipandu laju ketika membawa pesakit. Sehubungan dengan itu, ambulans disyorkan menggunakan teknologi keselamatan yang aktif dan pasif seperti teknologi ‘Electronic Stability Control (ESC)’ yang mampu meningkatkan kestabilan kenderaan.

“Majikan digalakkan untuk melakukan sesi latihan untuk meningkatkan kesedaran pengurusan keselamatan perjalanan agar wujud pemandu kenderaan yang lebih mahir, berpengalaman, komited serta berkeyakinan dalam melaksanakan perkhidmatan mereka,” katanya.

Terdahulu, satu kemalangan melibatkan ambulans telah berlaku pada 23 Oktober lalu yang melibatkan kematian pemandu manakala penumpangnya telah mengalami kecederaan di Kilometer 194.5, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Perak. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini