Minyak sawit: Najib minta Teresa beri angka Mei hingga September - Utusan Malaysia

Minyak sawit: Najib minta Teresa beri angka Mei hingga September

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Okt. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minta Menteri Industri Utama Teresa Kok mendedahkan jumlah eksport minyak sawit dari Mei hingga September.

Najib berkata, jumlah eksport minyak sawit Malaysia mengalami kejatuhan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Adakah Teresa Kok tidak faham apa yang saya kata atau sengaja nak mengelirukan orang ramai? Mengapa Teresa Kok memberi angka-angka dari Januari sehingga September?

“Cuba kira dari bulan Mei sehingga September, boleh? Naik atau turun?” Kata Najib.

Najib mengulas kenyataan Teresa bahawa perangkaan bagi tempoh Januari hingga September 2018 menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia meningkat sebanyak 3.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2017.

Kenyataan Teresa itu susulan dakwaan yang dibuat oleh Najib bahawa eksport minyak sawit Malaysia menurun sejak Mei hingga September tahun ini.

“Terus-terang saya kata hari itu bahawa ekspot menurun selepas PRU14. Dari bulan Januari sehingga April eksport minyak sawit kita lebih tinggi berbanding bulan yang sama tahun sudah.

“Bermula dari bulan Mei selepas PRU14 pula jumlah eksport setiap bulan lebih rendah berbanding tahun lepas,” kata Najib.

Najib mendakwa pada masa sama eksport minyak sawit dari negara jiran pula meningkat setiap bulan berbanding tahun lepas.

Justeru Najib mempersoalkan mengapa berlaku perbezaan besar untuk trend ataupun corak eksport minyak sawit Malaysia dan Indonesia secara tiba-tina selepas PRU14 berlangsung.

Dalam  hantaran di Facebooknya, Najib turut berkongsi maklumat eksport sawit Malaysia yang dipetik dari laman sesawang MPOB dan beberapa laporan ekonomi agensi berita asing.

Teresa semalam meminta Najib berhenti mengelirukan orang ramai kononnya terdapat perubahan mendadak dalam trend eksport minyak sawit Malaysia selepas PRU14.

Teresa berkata, eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh Januari hingga September 2018 menunjukkan eksport minyak sawit Malaysia meningkat  kepada 18.27 juta tan berbanding hanya 17.63 juta tan bagi tempoh yang sama pada 2017.

Teresa berkata, Najib sewajarnya mengetahui bahawa komoditi berorientasikan eksport seperti minyak sawit, serta minyak sayuran dan lemak, sentiasa mengalami perubahan dalam harga dan kuantiti eksport.

Teresa juga menegaskan, Najib sepatutnya tahu mengenai sebab serta faktor yang memberi kesan ke atas harga termasuk eksport minyak sawit dan ini merangkumi, kitaran dalam permintaan serta penawaran, perayaan, lebihan stok dan ekonomi global.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN