Mertens bantu Napoli ikat Roma - Utusan Malaysia

Mertens bantu Napoli ikat Roma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MILAN 29 Okt. – Dries Mertens muncul wira Napoli apabila membantu pasukannya mengikat Roma 1-1 dalam aksi Serie A bagaimanapun pemain Belgium itu mengakui berasa kecewa selepas turun sebagai pemain gantian.

Mertens meledak gol penyamaan pada minit terakhir permainan dan itu merupakan gol keempatnya bersama Napoli.

“Saya lebih suka diturunkan sebagai kesebelasan utama terutamanya dalam perlawanan seperti ini. Saya tidak sabar untuk menghadapi perlawanan ini di Napoli dan sebab itu saya kecewa,” kata Mertens.

Napoli kekal di tangga kedua namun ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Juventus yang kini sedang memburu kejuaraan Serie A buat kali kelapan berturut-turut.

“Memalukan apabila kami tidak memenangi perlawanan ini sebab penting untuk kami mengutip tiga mata. Begitu pun, bagus untuk kami apabila bangkit daripada ketinggalan namun kami perlu melakukannya lagi,” kata Mertens lagi.

Jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti kerap menukar pemainnya lebih kerap berbanding bekas pengendali, Maurizio Sarri apabila dia melakukan perkara yang sama ketika seri bertemu Paris Saint Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara.

“Jika saya meletakkan seseorang di bangku simpanan dan dia gembira, saya akan marah. Saya bercakap tentang dia (Mertens),” kata Ancelotti.

Napoli mendominasi sebahagian besar perlawanan tersebut bagaimanapun Roma terlebih dahulu berada di depan seawal minit ke-14 menerusi jaringan Stephan El Shaarawy. Ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada Roma, Mertens meledak gol penyamaan pada minit ke-90 berpunca daripada sepakan Jose Callejon. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN