PEMBENTANGAN Belanjawan 2019 pada 2 November ini amat mendebarkan dan pastinya para penjawat awam juga tidak senang duduk tertanya-tanya ada atau tidak buah tangan buat mereka. Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap meletakkan harapan untuk dipertimbangkan insentif kepada penjawat awam bagi menurunkan tekanan kos sara hidup yang tinggi.
Perkhidmatan awam adalah kenderaan utama kepada pelaksanaan dasar-dasar negara manakala penjawat awam ibarat enjin yang menggerakkannya. Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kembali semula ke Putrajaya meletakkan satu tugas penting untuk dijunjung di atas batu jemala 1.6 juta penjawat awam. Beliau melontarkan dengan jelas ikrar untuk mengembalikan semula kegemilangan pentadbiran negara yang suatu ketika dulu pernah dianggap yang terbaik, diteladani dan dihormati dalam kalangan negara Komanwel.
Justeru, satu anjakan paradigma perlu berlaku pada penjawat awam untuk menterjemahkan misi ini. Penjawat awam selaku modal insan perlu diperkasakan dan direjuvinasikan semula.
Bagi melahirkan penjawat awam yang berwibawa, dinamik dan berprestasi tinggi, empat aspek utama iaitu intelektual, rohani, jasmani dan integriti wajib diberi penekanan sebagai input utama yang disuntik masuk untuk menjalar ke setiap urat nadi mereka.
Kekuatan intelektual atau ilmu pengetahuan ini adalah satu proses pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, budaya malas berfikir, memiliki minda yang jumud dan tidak mahu berfikir di luar kotak perlu dibuang jauh kerana itu menyekat daya intelektual penjawat awam dari berkembang.
Aspek rohani yang berkait rapat dengan iman, adab dan akhlak tidak boleh diabaikan kerana ia adalah ‘isi’ kepada jiwa (qalbu) seorang individu yang diperlihatkan dengan amal perbuatan. Rohani yang mantap akan mengekang mereka daripada melakukan perbuatan yang bercanggahan dengan etika, moral, peraturan mahupun undang-undang.
Bagi memastikan perkhidmatan dan sistem penyampaian itu berjalan dengan baik, amat penting aspek jasmani yakni kesihatan juga dititik beratkan kerana ia membolehkan individu itu menjadi seorang penjawat awam yang produktif dan efektif sepanjang masa.
Pahit untuk diakui terdapat segelintir penjawat awam menggadaikan maruah, amanah dan kepercayaan yang diberikan dengan terjebak dalam kegiatan jenayah dan tidak bermoral seperti rasuah dan salah guna kuasa. Ini sememangnya menjejaskan imej baik dan integriti penjawat awam secara keseluruhannya.
Wajib diinsafi bahawa integriti adalah nilai unggul yang perlu wujud pada individu dan organisasi. Penulis menyambut baik Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) oleh kerajaan baru-baru ini yang berperanan dalam menyelaras dan memantu semua aktiviti berkaitan tadbir urus, integriti dan banteras rasuah.
Kegusaran penulis pada ketika kerajaan secara serius mengambil pelbagai langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan kebajikan para penjawat awam, janganlah pula ada pihak-pihak lain yang tidak mendukung malah mencadangkan pula pelaksanaan dasar-dasar yang terkebelakang dan tidak selari dengan nilai insani, hak asasi, prihatin dan keadilan. Moga ini tidak berlaku!
PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.










