ISU perpecahan umat Melayu merupakan satu perbincangan umum masa kini, seolah-olah tiada kesudahannya. Ekoran daripada timbulnya masalah itu, banyak pihak yang sedar dan insaf dan ada di antaranya berusaha mencari formula ke arah mewujudkan semula perpaduan yang sedang diancam bahaya ini.
Disebabkan wujudnya isu tersebut, seruan supaya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah bagi tujuan penyelesaian sering juga diutarakan namun tiada perincian modus operandinya secara menyeluruh tentang hal berkenaan.
Lazimnya, apabila masyarakat Melayu-Islam mengakui ada masalah, barulah mereka sedaya upaya mencari formula yang sebaik-baiknya untuk menyelesaikannya.
Hal ini perlu ditekankan kerana kajian menunjukkan bahawa perpecahan ummah yang berlaku sekarang ialah di sebabkan dua elemen utama, iaitu kuasa dan ekonomi. Maka kedua-dua elemen ini sekiranya diuruskan dengan baik, mungkin akan menjadi elemen perpaduan dan kesatuan. Tetapi sayangnya, kedua-dua faktor ini telah disalah gunakan, sehingga akhirnya menjadi alat perpecahan orang Melayu.
Sebab itu dicadangkan agar diwujudkan penyusunan modus operandi yang lebih kemas, mekanisme yang tersusun dan membina serta strategi yang betul. Malah memerlukan satu koordinasi di antara semua pihak dan badan-badan pemikir di negara ini tentang keperluan membicarakan satu isu ummah yang besar dalam menyatu padukan pembicaraan politik khususnya antara tokoh-tokoh politik yang berkonflik.
Begitu juga dengan rancangan jangka panjang yang menyentuh mengenai isu pendidikan agama. Realitinya, pada masa ini pendidikan agama lebih menjurus kepada isu kognitif yang mana guru-guru dan ibu bapa berasa puas dengan pangkat A yang diperoleh para pelajar tanpa membawa pendidikan Islam itu lebih jauh ke hadapan iaitu ke arah pembentukan perwatakan, nilai hidup bermoral dan bermasyarakat serta bertanggungjawab kepada umum.
Juga, sensitif kepada kebajikan sekeliling dan menghormati sesama manusia selain jauh daripada perasaan ego. Mengapa pengajaran Islam yang dikuasai dengan baik selama ini tidak membawa kepada pengajaran yang lebih berkesan dan efektif, bukan hanya kognitif, dalam usaha kita mendidik generasi baharu umat ini?
Yang teramat penting, kita haruslah membezakan antara titik temu dan titik perbezaan ketika mencari formula kesepaduan dalam perbezaan. Selepas ketiadaan Rasulullah SAW, kitalah pewarisnya. Justeru, kita perlu mengenal pasti yang manakah matlamat dan yang manakah alat yang boleh dijadikan formula kesepaduan ini.
Bukannya terlalu banyak membincangkan alat sehingga mengabaikan matlamat. Hal ini bolehlah diibaratkan seperti merawat seorang pesakit. Jangan hanya merawat tanda-tanda penyakit atau simptomnya, tetapi rawatlah punca penyakitnya yang sebenar.
Ringkasnya, membicarakan masalah umat Islam serantau juga merupakan pembicaraan tentang umat Islam dalam dunia ini secara keseluruhannya. Umat Islam tidak dapat dipisahkan antara satu dengan yang lain, antara daerah dengan daerah, negara, rantau dan sebagainya kerana umat Islam adalah umat yang satu:
“Sesungguhnya umat ini adalah umat yang satu, dan Aku adalah Tuhan kamu, maka sembahlah Aku.” – Al-Anbiya’ ayat 21
Dari satu sudut yang lain pula, membicarakan tentang umat Islam juga merupakan satu pembicaraan yang merangkumi umat manusia keseluruhannya. Ini kerana manusia yang dijadikan oleh Allah SWT adalah berpuak-puak dan pelbagai kaum serta bangsa.
Tujuannya adalah supaya manusia itu dapat hidup bersama dalam kemesraan dan produktif bagi yang bermatlamatkan memakmurkan alam ini mengikut istilah yang digunakan di dalam al-Quran, ‘untuk mereka berkenal-kenalan’.
“Wahai manusia, telah Kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kamu berpuak-puak dan kaum-kaum supaya kamu dapat berkenal-kenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang-orang yang paling bertakwa.” – Al-Hujurat ayat 13.
Dengan itu terserahlah kepada golongan bijak pandai dan pemimpin-pemimpin bangsa serta agama kita yang seharusnya terus mencari formula yang praktikal dalam isu perpecahan ini agar isu tersebut dapat ditangani dengan lebih berkesan.
DATUK DR. ISMAIL IBRAHIM ialah ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (Integriti).











