KUALA LUMPUR 26 Okt. – Menteri-menteri dan timbalan menteri yang sepatutnya menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Rakyat perlu hadir ketika diperlukan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, walaupun mengakui kehadiran ahli-ahli Parlimen tidak pernah mencukupi, namun beliau berharap tanggungjawab mereka terutamanya menteri dan timbalan menteri ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.
Namun, katanya, ia terpulang kepada keadaan yang memungkinkan seseorang ahli Parlimen itu tidak dapat hadir dan perlu menghantar wakil bagi pihak mereka.
“Kita tidak boleh berharap seratus peratus kehadiran di Parlimen, itu mustahil. Terpulang kepada keadaan, tetapi sesiapa yang seharusnya hadir di Parlimen kalau ada sesuatu yang akan dikemukakan olehnya, atau dijawab olehnya, dia patut hadir,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat pengurusan tertinggi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke pejabatnya di Parlimen, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai isu kehadiran ahli-ahli Parlimen yang kurang memuaskan dalam tempoh lima bulan kebelakangan ini.
Semalam, empat ahli Parlimen yang juga menteri dan timbalan menteri didapati tidak hadir bagi menjawab soalan lisan dalam sidang Dewan Rakyat.
Yang turut hadir dalam kunjungan hormat itu ialah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof. Dr. Mohamed Hatta Shaharom dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abdul Adzis Abas. – UTUSAN ONLINE










