ALOR SETAR 22 Okt. – Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik perlu memberi penjelasan berhubungi tindakan penasihat khasnya, Wan Saiful Wan Jan yang membawa rombongan rasmi ke luar negara.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir khalid berkata, tindakan itu adalah di luar batasan dan seolah-olah menampakkan pegawai khas tersebut mengambilalih tugas menteri dan timbalannya.
Katanya, selain itu ia juga dibimbangi menjejaskan hubungan baik antara dua negara terlibat.
“Sebelum ini ketika saya menjadi menteri, hanya menteri, timbalan menteri dan ketua pengarah pelajaran saja yang melakukan lawatan kerja ke luar negara untuk membuat kajian mengenai sistem persekolahan di tempat orang.
“Untuk lawatan kerja secara rasmi sebegitu, satu kertas kerja perlu dibentangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet untuk mendapatkan kelulusan terutamanya berkaitan peruntukan. Bagaimana pula kini seorang penasihat khas boleh diberi mandat berbuat demikian dengan alasan memahami sistem sekolah di negara asing?” soalnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini tular di media sosial apabila Penasihat Khas Menteri Pendidikan, Wan Saiful Wan Jan memuat naik beberapa keping gambar di media sosial menunjukkan beliau membawa satu delegasi ke London, United Kingdom atas alasan untuk memahami sistem pendidikan negara tersebut.
Mahdzir menambah, timbul persoalan mengenai pihak mana yang meluluskan peruntukan bagi lawatan kerja diketuai Wan Saiful itu.
“Ketika kerajaan dikatakan mahu berjimat, tiba-tiba ada penasihat menteri pula melakukan lawatan.
“Disebabkan itu menteri pendidikan perlu menjelaskan perkara ini secara telus,” katanya. – UTUSAN ONLINE










