KUALA LUMPUR 21 Okt. – Menjelang 30 hari penganjuran Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Antarabangsa (MAHA)2018 sebanyak tiga pusat beli belah di ibu negara ‘diserang’ hari ini
Melalui program ‘Street Attack’, pusat beli belah Farrenheit 88, Sogo dan Jakel diserang penari Attitude seramai 25 orang bagi mempromosikan MAHA 2018 yang akan berlangsung dari 22 November hingga 2 Disember.
Kehadiran kumpulan tersebut yang menari berlatarbelakangkan lagu tema MAHA 2018 ‘Hang Pi Mana’ yang dinyanyikan oleh Yabang Khalifah di ketiga-tiga pusat beli-belah, berjaya menarik perhatian orang ramai.
Malah celoteh santai rakan artis, Faizal Ismail turut menjadikan program ‘Street Attack’ dikerumun orang ramai seperti semut menghurung gula.

Menurut Pengarah Sekretariat MAHA 2018 Azman Mohd. Saad, ‘Street Attack’ ingin memaklumkan semua masyarakat di Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur dan Lembah Kelang terutamanya bahawa MAHA hanya tingga 30 hari sahaja lagi.
“Pada hari ini juga kita mengetengahkan lagu tema MAHA iaitu Hang Pi Maha yang telah dinyanyikan oleh Yabang.
“Selain Yabang kita ada Faizal Ismail yang kita lantik sebagai rakan strategik selebriti MAHA. Sama-sama mereka nanti ada Aisyah dan Abby Abadi yang kita juga telah kita lantik sebagai rakan selebriti MAHA,” kata Azman yang ditemui ketika acara berlangsung.
Sehingga kini MAHA 2018 yang dianjurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mempunyai 35 rakan penaja dengan jumlah tajaan hampir RM5.5 juta.
Berlangsung selama 11 hari di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, MAHA 2018 masih mengekalkan tema sama, ‘Makanan Kita, Masa Depan Kita.’
Pameran tersebut dijangka menarik lebih 3.5 juta pengunjung menerusi pelbagai aktiviti termasuk 13 pavilion negeri, 501 juadah popular, jualan segar 11,111 produk dan banyak lagi.
Sejumlah 1,500 gerai jualan dan pameran juga dibuka sepanjang acara berlangsung. MAHA 2018 akan dibuka dari pukul 10 pagi hingga 7 malam.
Terdapat lima tarikan baharu pada MAHA 2018 seperti kulinari, sumber rezeki baharu, teknologi terkini, jualan industri asas tani berkonsepkan pasar raya besar dan Miracle Garden (taman).-UTUSAN ONLINE











