LAIN negara lain cara mereka mencorakkan model pembangunannya. Jepun sebagai contoh, melakukan tiga kali proses mencorakkan pembangunan negaranya berlandaskan pelantar Reform Pendidikan (Educational Reform). Pertama semasa Meiji Restoration, kedua selepas Perang Dunia Kedua dan ketiga pada awal tahun 1980an.
Begitu juga Norway yang keluar dari belenggu kemiskinan sebagai salah satu negara paling miskin di Eropah suatu ketika dahulu, kini menjadi negara paling makmur di dunia. Ia mengutamakan pendidikan dan latihan bagi melahirkan insan-insan yang berdaya-saing dan produktif.
Malaysia pula memilih untuk mencorakkan model pembangunan atas pelantar agenda ekonomi. Selepas Merdeka ia menggubal pelan pembangunan berkala, setiap penggal selama lima tahun. Penggal pertama, RMK Pertama, 1966-1970. Apabila dasar ekonomi RMK1 itu dipacu pasaran, ia menyebabkan jurang ekonomi antara etnik semakin melebar. Akhirnya Malaysia menggubal DEB (1970-1990) bagi perbetulkan kesilapan itu. Selepas itu sehinggalah MBE (2011-2020), semua dasar pembangunan negara bertunjangkan kemajuan (pertumbuhan) dan pembangunan.
Korea Selatan dan Singapura pula memilih National Service ala tentera (pertahanan & keselamatan) sebagai pelantar melahirkan warga yang berdisiplin tinggi untuk mengemudi negara dalam semua bidang kehidupan. National Service mereka bukan untuk melahirkan warganegara tentera tetapi waarganegara berdisiplin tinggi dan berdaya-saing tinggi serta berintegriti tinggi, kerana mereka yakin agenda keselamatan dapat menentukan atau mempengaruhi kekuatan minda dan jatidiri warganegaranya dalam membangunkan negara.
Indonesia pula menyatukan rakyatnya dari ribuan pulau dalam ratusan etnik yang berlainan budaya, sebagai satu Bangsa Indonesia, di atas pelantar budaya nasional, pancasila.
Terkini, Singapura menukar pendekatan bagi mencorakkan pembangunanya dengan mengikut langkah Jepun dan negara-negara Nordics, menggunakan agenda pendidikan bagi melahirkan generasi yang berkarakter dan berwibawa, bukan sekadar insan yang berpendidikan tinggi semata-mata.
Bayangkan warganegara Singapura suatu hari nanti yang kuat set of characters menerusi sistem pendidikan barunya itu, yang diperkuatkan pula dengan set of national service yang telah terbukti berjaya. Sekarang inipun dalam ranking dunia mengenai Indeks Kemakmuran Global yang dikeluarkan oleh Legatum Institute of Prosperity, Singapura adalah negara rantau Asia yang paling makmur, hampir setanding dengan kebanyakan negara blok Nordics , New Zealand dan Australia.
Saya berpeluang mengikuti program lawatan ke Jepun selama hampir lima minggu ditaja oleh JICA, di pertengahan tahun 1980an. Ketika di sana saya berkesempatan meninjau dan mengikuti hasil buah tangan usaha mereka melaksanakan The Third Educational Reform, yang memfokus kepada pembentukan budaya dan jatidiri dalam kalangan pelajar sekolah, bermula dari peringkat pendidikan rendah (primary education). Setahu saya pada masa itu pun sudah begitu ramai pegawai dari Kementerian Pendidikan dihantar ke Jepun bagi meninjau dan menilai pelaksanaan agenda pembangunan negara matahari terbit itu menerusi educational reform.
Mesej yang hendak saya kongsi di sini ialah bagaimana Jepun menggunakan agenda pendidikan (dan kebudayaan) bagi mencorakkan pembangunan insan dan negaranya. Berbeza dengan kita yang cuba mencorakkana agenda pembangunan di atas pelantar pertumbuhan dan pembangunan dengan pada masa yang sama menggunakan lain-lain pelantar, terutama pendidikan, hanya sebagai pelantar enabler saja.
Yang pastinya, pendekatan kita sejak DEB 1970 jelas memaparkan beberapa permasalahan yang kini kita hadapi dalam corak pembangunan negara dan para insannya.
Tak tahulah saya sama ada Jepun juga berdepan masaalah sosial, masyarakat dan negara yang lebih meruncing berbading dengan kita, kesan daripada corakan oleh Educational Reform itu. Tapi setahu saya, rata-rata masyarakat Jepun kini lebih berdisiplin. Bad apples tetap ada dalam mana-mana masyarakat, tapi secara keseluruhannya, mereka lebih berbudaya dan berjati diri.
Saya juga kurang arif mengenai etnik lain di negara ini. Akan tetapi jika kita sorotkan keluhan Tun Dr. Mahathir Mohamad sepertimana yang diluahkan semasa KBN2018, itulah gambarannya mengenai kaum Bumiputera. Penyudahnya, liputan media mengenai KBN2018 itu lebih menjurus kepada luahan rasa hati beliau terhadap Bumiputera dan tidak kepada resolusi yang dihasilkan oleh kongres itu.
Alhamdulillah, semasa melancarkan Kajian Separuh Penggal RMK-11 di Parlimen pada 18 Oktober 2018, Perdana Menteri melepaskan ikatan corak dan acuan pembangunan dari yang berpaksikan dan berpelantarkan pertumbuhan, kemajuan dan pembangunan semata-mata, kepada pembangaunan yang diacukan dan dicorakkan atas pelantar yang lebih holistik, dengan enam tiang seri yang utama. Ia dinamakan Agenda Kemakmuran dan dengan masyarakat yang begitu majmuk, disulami pula oleh jurang ekonomi, pendidikan dan kekayaan yang lebar, Agenda Kemakmuran ini wajiblah agenda yang boleh dikongsi bersama.
MPM mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas kepada EPU dan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) yang dapat meyakinkan kerajaan untuk berislah kepada acuan dan corak pembangunan yang baru:
Tanggungjawab bersama membina dan berkongsi kemakmuran
EPU dan MEA telah memulakan langkah pertama ini. Diharapkan kementerian lain, agensi Persekutuan dan negeri serta institusi berkaitan kerajaan memahami corak dan acuan baharu ini dan bergerak seiringan bersama EPU dan MEA dalam usaha membina kemakmuran yang dapat dikongsi bersama.
DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).










