Mempermainkan orang susah? - Utusan Malaysia

Mempermainkan orang susah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AHAD lalu, ketika sedang memandu dalam perjalanan ke tempat kerja, di depan saya, sebuah motosikal yang ditunggang sangat perlahan. Apabila memintas motosikal tersebut, saya dapat perhatikan ada anak kecil di tengah-tengah pasangan itu, terjuntai-juntai kakinya tanpa memakai kasut. Dia dibalut dengan kain batik yang diikat pada tubuh ibunya.

Perasaan saya yang pada mulanya naik angin kerana motosikal itu berada di tengah-tengah jalan yang mengganggu perjalanan, terus kendur. Melihat kaki anak kecil itu, menguis-nguis angin, hati saya sebak. Dalam cuaca amat men­dung pada tengah hari itu, saya mengharapkan agar ia tidak hujan. Sekurang-kurangnya, biarlah pasangan itu sempat sampai ke tempat yang dituju.

Tiba-tiba saya teringatkan arwah abah. Mengayuh basikal meredah hujan ketika mengambil saya pulang dari sekolah rendah dulu. Abah memakaikan saya baju hujan yang dipakainya, dan saya akan kata – “Baju ini besarlah abah,” dan abah basuh kuyup.

Selalunya, bila kita diberi ujian kesusahan, kita rasakan ia bagai satu beban yang bukan saja boleh rebeh bahu malah bagaikan satu batu besar yang bila-bila saja boleh menghempap kepala. Tetapi bila melihat kepada orang lain yang kurang bernasib baik atau lebih susah daripada kita, barulah sedar, masih ada ruang yang perlu kita syukuri.

Dan saya juga yakin, bila melihat kesusahan orang lain, ia sepatutnya memberikan kita keinsafan dan terbitnya rasa simpati. Sebab itu, jarang betul, netizen yang mengecam bila sesebuah kisah kesusahan ditularkan dalam media sosial. Semuanya mahu membantu dan paling tidak pun berdoa, agar segala urusan dipermudahkan.

Begitulah reaksi kebanyakan daripada kita apabila berdepan dengan kesusahan orang lain. Sebabnya, kita pun ada kesusahan sendiri dan amat memahami apa makna dan ertinya susah itu.

Tetapi bagaimana pula yang tidak pernah susah? Yang pernah susah, tetapi kini tidak lagi dan seakan sudah lupa dia pernah susah? Adakah simpati dan keinginan untuk membantu tetap sama?

Berapa ramai orang susah yang kecewa dengan janji-janji orang senang? Dan berapa ramai orang senang yang mempergunakan orang susah sekadar untuk mendapat nama, popular dan hanya untuk mendapat liputan media? Dan berapa ramai pula yang sudah memberi atau menolong orang susah, dia mengungkit-ungkit pula?

Di mana letaknya hati perut dan keikhlasan? Inikah sikap orang berpelajaran tinggi? Memandang orang susah dengan anggapan mereka jadi begitu kerana tidak mahu belajar pandai semasa di sekolah dulu. Selepas itu, hidup menyusahkan orang? Begitukah?

Sedangkan hidup ini Tuhan sudah atur ada kaya ada miskin dan ada susah dan ada senang. Kepada yang senang, orang yang susah adalah ladang pahala kepada mereka. Dalam rezeki kita, ada juga rezeki orang lain. Yang susah menolong yang senang di akhirat.

Sama jugalah dalam konteks membela rakyat yang susah di negara ini. Janganlah dipandang dan ditatang mereka ketika kempen pilihan raya saja. Apabila sudah menang, rakyat yang pernah dikunjungi rumahnya yang hampir senget dulu, ditekan malah dibiarkan rumahnya roboh. Ini jahat namanya.

Mempermainkan perasaan orang adalah perbuatan terkutuk. Lebih terkutuk lagi hina, jika yang dipermainkan itu adalah orang susah dan teraniaya.

Dan saya, mendoakan pasangan yang membawa anak kecilnya dengan motornya itu dilimpahkan rezeki yang ba­nyak dan dipermudahkan segala urusan di dunia dan akhirat. Amin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN