KUALA LUMPUR 31 Okt. – Legenda bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan semakin hampir menjadi pengendali Melaka United untuk menghadapi Liga Malaysia musim 2019.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Wira Mohd. Yusoff Mahadi berkata, surat tawaran sudah diserahkan kepada bekas jurulatih Pulau Pinang, Selangor dan Pahang itu, hari ini.
“MUSA memilih Zainal kerana kami percaya dia ada aura kejayaan dan kita mengenalinya sebagai legenda bola sepak negara. Ada keperluan segera untuk melantiknya supaya dia dapat memilih pemain Melaka.
“Ini juga satu kesempatannya untuk untuk lebih menyerlah dan mengemudikan sebuah pasukan Liga Super kerana sebelum ini dengan pasukan Liga Perdana Pulau Pinang,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini.
Mengenai sasaran khusus buat Zainal, Yusoff menyerahkan perkara itu kepada Presiden MUSA, Adly Zahari untuk mengumumkannya.
“Sudah tiga tahun pasukan ini tidak menang piala. Kami harap dia boleh buat sesuatu dan kehadirannya dalam Liga Super diharap akan memberikannya motivasi,” katanya.
Zainal, 59, bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh E. Elavarasan, yang memilih untuk tidak menyambung kontrak. – UTUSAN ONLINE











