MELAKA 26 Okt. – Tiga jawatankuasa di negeri ini melibatkan budaya warisan dan pelancongan akan diperhalusi supaya dapat diisi oleh mereka yang mempunyai ilmu serta mampu melaksanakan perancangan kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, tindakan itu yang merupakan saranan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob juga bertujuan supaya sesuatu pengkhususan yang dibuat dapat dilaksanakan dengan baik.
“Buat masa sekarang, jawatankuasa warisan masih di bawah Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Saya akan bincang dengan Datuk Bandar MBMB (Datuk Azmi Hussain) dan kita akan ambil tindakan dan siapkan jawatankuasa berkenaan sebelum 1 januari 2019.
“Saya rasa akan libatkan (jawatankuasa) pihak swasta juga sebab saya nak kita banyak pakar-pakar budaya dan warisan. Pada masa sama, tidak boleh terdiri daripada pemikir sahaja tetapi mesti ada pelaksana dan soal ini, kita akan minta syarikat swasta yang berminat untuk melaksanakan program yang kita rencana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Persamian Hang Tuah Centre sempena Duyong Cultural Fest 2018 yang dirasmikan oleh Mohd. Khalil di sini hari ini.
Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Omar Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Damian Yeo Shen Li dan Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas. – UTUSAN ONLINE










