Mekanik maut nahas babit tiga motosikal  - Utusan Malaysia

Mekanik maut nahas babit tiga motosikal 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIU – Seorang mekanik maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah motosikal di Kilometer 50, Jalan Kuala Terengganu – Kota Bharu berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu 29 di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa, Mohd. Afiq Luqman Mahmad Azan, 22, (gambar kecil) disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah pada beberapa bahagian badan sementara seorang lagi penunggang motosikal, Md. Salman Abdullah, 18, kini berada dalam keadaan koma.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Zulkifli Mat Deris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 125ZR milik Mohd. Afiq Luqman bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135 LC yang ditunggang secara melawan arus oleh Md. Salman.

“Akibat pertembungan itu, motosikal Mohd. Afiq Luqman telah terseret sehingga lorong bertentangan sebelum dirempuh sebuah motosikal lain jenis Honda Wave yang datang dari arah Kota Bharu.

“Mekanik terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sementara remaja lelaki yang koma itu dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, penunggang motosikal Honda Wave bersama rakannya yang cedera ringan dihantar ke Hospital Setiu bagi rawatan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN