KEMAMAN – Seorang mekanik ditahan dalam satu sekatan jalan raya hari ini kerana motosikal jenis Yamaha RXZ yang sedang ditunggangnya disyaki menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd. Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 33 tahun itu ditahan dalam sekatan jalan raya sempena Ops Samseng yang diadakan di Jalan Kubang Kurus, Chukai di sini pada pukul 1.20 pagi.
“Pemeriksaan terhadap motosikal jenis Yamaha RXZ yang dinaiki suspek didapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu.
“Siasatan awal mendapati nombor pendaftaran itu sebenarnya milik sebuah motosikal lain dari jenis sama,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, pemeriksaan juga mendapati motosikal jenis Yahama RXZ itu juga telah tamat cukai jalan sejak tahun 2009 selain tidak mempunyai cermin sisi, plat nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan lampu brek tidak berfungsi. – K! ONLINE











