KUALA LUMPUR 28 Okt. – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini mengesahkan, Mehmet Durakovic akan kekal membimbing Bos Gaurus musim depan setelah membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia semalam.
Bagaimanapun pengesahan yang dibuat Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Munaim itu belum cukup meyakinkan penyokong Perak, apatah lagi beliau berkata Mehmet hanya memberi persetujuan secara lisan.
Mehmet sendiri dalam sidang akhbar selepas kemenangan ke atas Terengganu di Stadium Shah Alam enggan mengiyakan atau menafikan ketika ditanya tentang khabar angin bahawa beliau akan kembali ke pangkuan Selangor, sebaliknya memilih untuk tidak mengulas mengenai masa depannya.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi Utusan Online juga memilih untuk ‘mengunci mulut’ dan hanya berkata, pemilihan ketua jurulatih baru akan diputuskan oleh Presidennya, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan barisan exco badan bola sepak tersebut dalam masa terdekat.
“Saya tidak boleh komen apakah Mehmet antara calon jurulatih Selangor musim depan kerana semua keputusan akan dibincangkan oleh Raja Muda dan exco dalam masa terdekat.
“Apa yang boleh saya katakan, rombakan besar-besaran pasukan Selangor untuk menghadapi musim baru tidak boleh dilakukan sekarang selagi kami tidak mempunyai jurulatih, jadi melantik seorang ketua jurulatih dalam masa terdekat adalah agenda utama FAS,” kata Dr. Johan ketika dihubungi.
Mehmet, 53, adalah jurulatih yang bertanggungjawab melengkapkan misi ‘33’ Selangor ketika membawa Red Giants muncul juara Piala Malaysia 2015.
Bagaimanapun, FAS mengambil keputusan mengejut apabila merehatkan jurulatih kelahiran Australia itu pada musim berikutnya dan melantik Zainal Abidin Hassan.
Selain membawa Perak menjulang Piala Malaysia buat kali kelapan, Mehmet juga membantu Bos Gaurus muncul naib juara Liga Super musim ini.
Bersama Selangor, selain membimbing mereka merangkul Piala Malaysia buat kali ke-33 pada 2015, dia sendiri pernah menjulang trofi berprestij itu pada 1995, 1996 dan 1997 ketika menjadi pemain.
Sementara itu, Hasnul menafikan khabar angin bahawa Pafa akan mengurangkan gaji Mehmet hingga menyebabkan jurulatih tersebut mahu beralih arah.
“Mustahil gajinya diturunkan, sebab dia sudah bawa satu piala ke Perak, jadi mana mungkin kita potong gaji beliau,” katanya.
Perak menamatkan penantian 18 tahun dengan menjulang Piala Malaysia kali kelapan selepas menewaskan Terengganu menerusi sepakan penalti 4-1 selepas permainan berakhir 3-3. – UTUSAN ONLINE










