IPOH 28 Okt. – Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) mengesahkan jurulatih Mehmet Durakovic kekal bersama Perak musim depan setelah membawa pasukan itu menjulang Piala Malaysia semalam.
Presiden Pafa, Hasnul Zulkarnain Munaim berkata, malah secara lisan Mehmet
telah memberikan persetujuan untuk terus mengemudi Perak musim depan.
“Sewaktu saya mengambil alih kepimpinan Pafa, saya berkata kepada Mehmet
bahawa saya akan menyambung kontraknya jika dia berjaya membawa Perak ke final Piala Malaysia.
“Apabila menang sudah tentu kontraknya akan disambung malah secara lisan dia memberitahu akan kekal di Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu ditemui ketika pulang dari Shah Alam bersama trofi Piala Malaysia yang dimenangi Perak semalam dengan mengalahkan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 setelah terikat 3-3 hingga masa tambahan.
Lebih 100 penyokong Perak menyambut ketibaan trofi tersebut namun tidak
disertai oleh pemain.
Hasnul Zulkarnain mengulas mengenai khabar angin Mehmet akan menyertai Selangor pada musim depan.
Beliau turut menafikan Pafa akan mengurangkan gaji Mehmet.
“Mustahil gajinya diturunkan, sebab dia sudah bawa satu piala ke Perak, jadi
mana mungkin kita potong gaji beliau,” katanya.
Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, kejayaan menjulang Piala Malaysia didedikasi kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda pada 3 November ini.
“Kemenangan ini merupakan hadiah kepada baginda dan Pafa dalam perancangan untuk membawa piala ini ke daerah-daerah untuk merai kejayaan ini bersama penyokong,” katanya.
habis/…










