KLANG 23 Okt. – Lebih 100 orang peserta daripada seluruh negara menghadiri Program Usahawan myCuepacsCare anjuran Medicare Assistance Sdn. Bhd. (Medicare) di Hotel Crystal Crown di sini pagi tadi.
Pengarah Urusan Medicare, K. Palanisamy berkata, program yang berlangsung selama dua hari bermula semalam itu bertujuan memberi pendedahan kepada peserta untuk menjana pendapatan tambahan melalui Medicare serta mempromosi produk perlindungan takaful penjawat awam iaitu CUEPACSCare dan CUEPACS PA.
Katanya, program tersebut berperanan mempromosi perlindungan takaful kepada setiap penjawat awam dengan melahirkan usahawan berkaliber dan mampu berkhidmat secara efisien.
“Sesuai dengan saranan kerajaan yang menyeru rakyat Malaysia mempunyai pendapatan tambahan, Medicare mahu melahirkan usahawan-usahawan yang berkaliber dalam menawarkan produk perlindungan takaful kepada penjawat awam.
“Dalam masa yang sama kita dapat memastikan setiap penjawat awam mendapat perlindungan hospital dan kemalangan dengan bayaran paling minimum,” katanya ketika ditemui di sini pagi tadi.
Tambah Palanisamy, Medicare menawarkan program takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 melalui CUEPACSCare, manakala RM6 bagi program takaful kemalangan diri CUEPACS PA. – UTUSAN ONLINE










