SHAH ALAM – Pengamal media perlu menjadi ‘pembetul arah’ kepada barisan Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) dalam era pentadbiran kerajaan Malaysia baharu, kata Tokoh Wartawan Negara, Datuk A.Kadir Jasin.
Beliau berkata, ini kerana, sesetengah pengamal media mempunyai pengalaman lebih lama berbanding menteri PH yang kebanyakannya masih baharu.
“Pengalaman lama wartawan dalam bidang ini boleh menjadi pembantu, pembetul arah dengan berkongsi pengalaman yang ada pada mereka (menteri dan timbalan baharu).
“Ini kerana kalau boleh saya tidak mahu wartawan disekat, diherdik, dipandang ringan oleh mana-mana pemimpin politik PH, kita kena saling bantu membantu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Serantau Persatuan Komunikasi Antarabangsa anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Dalam pada itu, A. Kadir yang juga Penasihat Media dan Komunikasi Pejabat Perdana Menteri berkata, media juga boleh menegur pemimpin kerajaan yang kebanyakannya baru memegang jawatan dalam pentadbiran kerajaan namun biarlah teguran itu ikhlas dan bukannya mencari kesalahan.
“Kita wajib mengajar dia (menteri) menerima teguran, dalam jangka masa saya menjadi wartawan, saya menegur banyak menteri dan sampai hari ini masih menjadi kawan saya walau mereka sudah bersara.
“(Tetapi) kena ikhlas bahawa kita melaporkan itu biar berteraskan keikhlasan dan bukan kerana nak mencari kesalahan supaya laporan kita menjadi sedap dan sensasi,” ujarnya.
Sementara itu, beliau berharap pengamal media dapat menggunakan sebaiknya kebebasan media yang diberikan oleh kerajaan PH sekarang untuk menghasilkan laporan berita yang mampu meningkatkan tahap pemikiran kritis rakyat di negara ini.
Beliau yang mengambil contoh isu pemakaian warna kasut dan stoking pelajar sekolah yang ditimbulkan Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, media terlalu mensensasikan isu itu, sebaliknya ada perkara asas yang lebih penting di Kementerian Pendidikan yang boleh dilaporkan.
“Media kini dilihat lebih terpengaruh dengan sensasi sehingga ia menjadi makanan dan hidangan dalam era media baharu, kita tidak boleh terikut-ikut dengan teknologi kita.
“Kita kena utamakan laporan yang menguntungkan masyarakat walaupun ia tidak menarik,” ujarnya. – K! ONLINE










