SAUDARA PENGARANG, Salah satu janji kerajaan Pakatan Harapan (PH) ialah untuk memastikan media pada era pentadbirannya menjadi lebih bebas dan berkecuali dalam menyampaikan mesej kepada rakyat, berbanding era pentadbiran kerajaan sebelum ini. Keutamaan kebebasan media sewajarnya diterjemahkan terlebih dahulu melalui penyampaian mesej di saluran media rasmi kerajaan seperti stesen Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang sepatutnya lebih adil dan saksama. Apatah lagi ketika ini RTM sendiri adalah saluran media milik kerajaan, bukan lidah rasmi mana-mana parti politik.
Justeru, apabila kepemimpinan kerajaan dilihat memanfaatkan sebaik mungkin platform RTM untuk mencemuh dan mencela lawan politiknya ketika lawan politiknya itu pula tidak pernah diberi peluang menjawab melalui saluran sama, sekali lagi rakyat merasakan mereka tertipu selepas begitu banyak penipuan demi penipuan terdedah.
Seandainya kita bersetuju media kerajaan perlu berkecuali atau neutral mahupun adil kepada rakyat keseluruhan, maka pilihan yang ada hanyalah dengan menafikan sebarang mesej politik daripada kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang melalui saluran tersebut.
Atau pun, perlulah diberikan hak sama adil kepada kerajaan dan pembangkang dengan membenarkan kedua-dua pihak menggunakan saluran yang sama.
Sikap neutral yang ditunjukkan kelak oleh media termasuk televisyen, dapat memastikan rakyat yakin dengan kerajaan yang memerintah. Fikirkan!
Pengemis Soh
Kuala Lumpur










