SEREMBAN 31 Okt. – McDonald’s Malaysia menyumbang lebih RM300,OOO menerusi tiga inisiatif yang diumumkan hari ini bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan dan miskin tegar di negeri ini.
Inisiatif tersebut ialah sumbangan zakat perniagaan, pelantikan individu daripada golongan asnaf untuk program perantisan McDonald’s dan penyerahan pek ‘Kembali ke Sekolah’ untuk memulakan sesi pembelajaran tahun 2019.
Majlis penyampaian inisiatif itu telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Dr. Razali Ab. Malik di Seremban 2, dekat sini.
Yang turut hadir, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad dan Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar.
Pada majlis itu, Azmir menyampaikan zakat perniagaan McDonald’s Malaysia bagi negeri ini sebanyak RM100,000 kepada Mohd. Yusof.
Dr. Razali kemudian menyampaikan surat pelantikan kepada lima anak muda dari negeri ini yang menyertai program perantisan McDonald’s.
Selain itu, seramai 1,200 murid dari 48 buah sekolah rendah di negeri ini menerima pek ‘Kembali ke Sekolah’ mengandungi satu set pakaian seragam, sepasang kasut dan sebuah beg sekolah. – UTUSAN ONLINE











