MBPJ sedia 22 kaunter bergerak perbaharui lesen perniagaan - Utusan Malaysia

MBPJ sedia 22 kaunter bergerak perbaharui lesen perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA 14 Okt. – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan membuka 22 kaunter bergerak dalam Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan 2019 bermula 1 November hingga 31 Disember depan bagi menggalakkan peniaga memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain berkata, kaunter bergerak itu bertujuan mengurangkan kesesakan di kaunter ibu pejabat MBPJ pada waktu puncak selain untuk memudahkan peniaga.

“Kaunter tersebut akan dibuka di sekitar pusat beli-belah di sini bermula di Jaya Shopping Centre pada 1 dan 2 November ini.

“Turut dibuka di Pasar Malam SS 2/60 dan SS2/61 pada 12 November bermula pukul 4 petang hingga 9 malam,” katanya selepas majlis pelancaran kempen berkenaan di sini semalam.

Menurutnya, MBPJ turut memperkenalkan aplikasi eLesen MBPJ yang boleh dimuat turun oleh orang ramai bagi mengetahui kelulusan permohonan daripada lesen sementara ke lesen kekal selain membaca maklumat terkini mengenai status lesen.

“Pengguna juga boleh juga mengimbas kod QR pada pelekat premis bagi mengetahui nama syarikat, alamat lesen, aktiviti yang dilesenkan dan tempoh sah laku lesen tersebut.

“Sekiranya terdapat mana-mana perniagaan yang beroperasi tidak sama dengan aktiviti yang dilesenkan, orang ramai boleh menggunakan maklumat tersebut untuk membuat aduan kepada MBPJ,” ujarnya.

Dalam majlis sama, Azizi turut menyampaikan Anugerah Lesen Berintegriti kepada 30 orang peniaga yang terpilih kerana tidak mempunyai tunggakan sewa, tidak pernah dikenakan kompaun atau melakukan pelanggaran syarat lesen.–UTUSANONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN