MB Selangor jumpa Bee Yin bincang isu kilang plastik - Utusan Malaysia

MB Selangor jumpa Bee Yin bincang isu kilang plastik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Kerajaan negeri Selangor akan mengadakan pertemuan dengan beberapa kementerian dalam masa terdekat bagi mencari langkah komprehensif berhubung isu kilang plastik di Kuala Langat.

Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ini termasuk pertemuan bersama Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin berikutan isu tersebut amat rapat dengan beliau iaitu alam sekitar. 

“Berbanding menghantar surat lebih baik kita berjumpa membincangkan langkah komprehensif dengan pihak kementerian termasuk Bee Yin.

“Perbincangan itu akan mengkhususkan kepada pemberian lesen import (AP) dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Hi-Tea bersama pengamal media di sini hari ini. 

Kosmo! sebelum ini melaporkan Amirudin akan menghantar surat kepada kerajaan Persekutuan supaya tidak lagi membenarkan kemasukan sisa plastik terutama dalam bentuk pukal yang besar. 

Menurut beliau, pengusaha kilang plastik boleh memohon lesen namun tiada lesen akan dikeluarkan kepada mereka. 

Ujarnya, ini berikutan secara prinsip kita tidak boleh membenarkan negara dan negeri kita menjadi bakul sampah kepada negara luar. 

“Tiada sebarang pemutihan akan dilakukan (kepada pengusaha kilang haram) ketika ini dan kita harus mendapatkan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) kerana kesannya sangat teruk dan parah.

“Kalau negara lain termasuk China mengharamkan kilang kitar semula plastik mengapa kita hendak membenarkan negara kita menjadi bakul sampah,” katanya. 

Dalam perkembangan sama, beliau juga memberikan kebebasan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan sekiranya wujud skandal kilang plastik tersebut. 

“Itu SPRM sudah boleh siasat bila-bila masa sahaja,” jelasnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN