GEORGE TOWN – Mayat kelapan mangsa kejadian tanah runtuh di tapak pembinaan Jalan Berkembar Paya Terubong, Jalan Bukit Kukus di sini berjaya ditemui di cerun dekat kawasan runtuhan rumah kongsi kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi.
Mayat mangsa warga Indonesia yang dikenali dengan nama Subaeri, 34, dijumpai dalam keadaan sempurna di bawah runtuhan pasir di sektor pertama.
Timbalan Pengarah Bomba negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, mayat kelapan itu ditemui dengan kedalaman tanah satu meter.
“Bau busuk di lokasi penemuan mayat lelaki itu telah membantu pasukan bomba mengesan lokasi mayat mangsa berada.
“Usaha mengesan baki dua lagi mangsa yang hilang giat dijalankan termasuk menggali kontena ke-13 yang tertimbus dengan kedalaman 20 meter,” katanya di sini sebentar tadi. – K! ONLINE











