SHAH ALAM 19 Okt. – Meskipun berat menerima keputusan, namun ibu mangsa yang hilang dalam kejadian kemalangan di Lebuh Raya Lembah Klang Baharu (NKVE) minggu lalu, Mariam Shanani Harun, 60, bersyukur selepas mayat ditemukan di Sungai Kandis Selasa lalu sah anaknya, Amir Hamzah Mohd. Rozali, 21.
Mariam berkata, keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan di Hospital Shah Alam mengakhiri penantian mereka sekeluarga terhadap kehilangan anak bongsunya itu.
Menurutnya, walaupun sebelum ini firasatnya kuat menyatakan mayat itu anaknya ekoran terdapat dua kesan parut di bahagian betis sebelah kiri dan perut, tetapi dia tetap menghormati prosedur pihak berkuasa untuk memastikan kesahihan.
“Ibu mana tidak bersedih melihat anaknya meninggal dunia, namun saya bersyukur kerana semuanya telah selesai.
“Arwah seorang periang serta manja semasa hidupnya, pasti kami sekeluarga akan merinduinya,” katanya ketika ditemui di Unit Foresik Hospital Shah Alam di sini hari ini.
Selasa lalu, mayat seorang lelaki ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian di Sungai Kandis di sini, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada ia adalah Amir Hamzah yang dipercayai hilang selepas motosikalnya jenis Yamaha Y15 ditemukan di lokasi kemalangan maut di Kilometer 14.5 NKVE, 12 Oktober lalu.
Mengulas lanjut, Mariam bagaimanapun menyuarakan rasa hairan kerana sehingga kini punca kematian anak keenamnya itu masih belum diketahui.
“Difahamkan arwah merupakan antara mangsa kemalangan di Kilometer 14.5, NKVE pada awal pagi Jumaat lalu selepas dikatakan membantu salah seorang mangsa kemalangan.
“Arwah mungkin terpelanting ke dalam sungai susulan penemuan beberapa barangannya termasuk topi keledar yang pecah dan begnya,” ujarnya.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib mengesahkan mayat yang ditemukan adalah Allahyarham Amir Hamzah selepas ujian DNA dilakukan menerusi DNA Mariam.










