BATU GAJAH – Motif di sebalik kejadian seorang anggota polis berpangkat lans koperal yang ditemui mati dengan satu kesan tembakan menembusi kepalanya di Balai Polis Pekan Baru dekat Ipoh Rabu lalu berpunca daripada masalah peribadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, sehingga kini, tiada sebarang keterangan yang menunjukkan terdapat unsur-unsur jenayah dilakukan terhadap anggota terbabit.
“Kita yakin dan percaya kejadian itu merupakan perbuatan bunuh diri dan polis masih lagi menunggu hasil laporan daripada Jabatan Kimia.
“Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian itu masih dalam siasatan dan kita beranggapan ia lebih kepada isu peribadi yang menyebabkan dia bertindak sedemikian,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Batu Gajah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah di sini hari ini.
Akhbar Kosmo!, Khamis lalu melaporkan, mangsa ditemui mati dengan satu kesan tembakan di tepi kepalanya di belakang kuarters di dalam Balai Polis Pekan Baru di sini.
Mayat mangsa yang berusia 29 tahun dan masih bujang itu dijumpai pada pukul 6.15 pagi dalam keadaan beruniform dengan sepucuk sub mesingan MP5 berada di sisinya.
Mangsa dikatakan bertugas dari pukul 12 tengah malam sehingga pukul 6 pagi di balai polis tersebut.
Siasatan awal ke atas mayat lelaki itu mendapati kepala mangsa ditembusi peluru dipercayai terkena satu tembakan daripada senjata MP5. – K! ONLINE










