ISU kerosakan lif di kediaman bertingkat terutama yang melibatkan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan pangsapuri kos rendah di negara ini sudah menjadi sebahagian daripada lumrah yang terpaksa ditanggung penghuninya.
Masalah yang membebankan penduduk terutama golongan warga emas, ibu mengandung dan pelajar sekolah itu seolah-olah masih tiada jalan penyelesaiannya.
Di Melaka, rumah pangsa PPR Krubong yang baharu sahaja didiami penduduk dalam tempoh kurang dua tahun menjadi mangsa sikap lepas tangan pihak yang bertanggungjawab apabila kemudahan di bangunan sembilan tingkat itu tidak lagi berfungsi.
Lebih mengejutkan apabila kesemua empat blok yang dilengkapi dengan saluran lif berkembar itu kini hanya bergantung pada satu lif sahaja.
Sama ada rosak atau sengaja dihentikan operasi, penduduk mahu pihak berkuasa campur tangan dalam masalah yang semakin membebani penduduk di situ, lapor FADZLY IZAB.










