Marquez tidak mahu beri peluang - Utusan Malaysia

Marquez tidak mahu beri peluang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

VICTORIA, Australia – Pelumba Repsol Honda, Marc Marquez memanfaatkan aksi tanpa tekanan setelah disahkan bergelar juara MotoGP 2018 minggu lalu dengan meraih kedudukan pertama buat kali kelima berturut-turut di Litar Phillip Island pada saingan Grand Prix Australia semalam.

Pelumba Sepanyol tersebut menamatkan sesi kelayakan dengan catatan 1 minit 29.199 saat iaitu 0.310 saat di hadapan pelumba Movistar Yamaha, Maverick Vinales dan Johann Zarco yang mewakili Yamaha Tech3.

“Sukar untuk memahami ba­gaimana hendak menunggang jentera dengan kelajuan lebih 200 kilometer sejam di litar ini. Saya cuba untuk hasilkan catatan masa terbaik selepas melihat pelumba-pelumba lain semakin memperbaiki catatan mereka.

“Kemudian hujan mula turun dan terdapat beberapa kemalangan berlaku. Jadi, saya tidak lagi mengambil risiko. Saya berharap nasib akan sekali lagi menyebelahi kami esok (hari ini),” katanya.

Sementara itu, kedua-dua pelumba Suzuki, Andrea Iannone dan Alex Rins akan memulakan saingan di tempat keempat dan kelima hari ini.

Jack Miller muncul sebagai pelumba terbaik dari Ducati yang akan memulakan saingan di kedudukan keenam dan diikuti oleh pelumba legenda Itali, Valentino Rossi (Yamaha), Danilo Petrucci (Ducati) dan Andrea Dovizioso (Ducati).

Pelumba kebanggaan negara, Hafizh Syahrin yang mewakili Yamaha Tech3 turut tidak ketinggalan mempamerkan aksi cemerlang dengan menempah petak ke­sepuluh. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN