PHILLIP ISLAND, Australia 27 Okt. – Walaupun sudah mengesahkan kejuaraan dunia buat kali kelima di Jepun minggu lalu, namun keghairahan penunggang Honda, Marc Marquez untuk memburu kejayaan tidak berkurangan apabila dia menyambar petak pertama MotoGP pada Grand Prix Motosikal Australia di sini, hari ini.
Beraksi di litar yang amat berliku, pelumba berusia 25 tahun dari Sepanyol itu tenang untuk meraih petak depan kelima berturut-turut dengan masa terpantas 1 minit, 29.199s, mengetepikan dua pencabar rapat dari Yamaha, Maverick Vinales (1:29.509s) serta Johann Zarco (1:29.705s).
Marquez mengambil peluang melakukan catatan terbaik ketika trek masih kering, sebelum hujan yang turun tiga minit memasuki pusingan kedua kelayakan menyebabkan kebanyakan pelumba gagal melakukan tunggangan pantas.
Dua pelumba Suzuki, Andrea Iannone dan Alex Rins masing-masing menamatkan sesi kelayakan di tangga keempat serta kelima manakala juara tujuh kali, Valentino Rossi dari Yamaha menamatkan saingan di tempat tujuh.
Sekali pun berada di landasan terbaik untuk memenangi perlumbaan kesembilan musim ini, namun Marquez memilih pelumba Itali, Iannone sebagai pilihan untuk memenangi saingan esok.
“Iannone adalah pilihan. Dia memiliki kelajuan yang lebih baik.
“Kalau dia berjaya memberi aksi terbaik esok, kami tidak akan menang, kalau ia seperti hari ini, dia akan menang,” kata Marquez.
Grand Prix Australia hari ini turut menyaksikan beberapa kemalangan berlaku, termasuk melibatkan pelumba KTM, Bradley Smith dalam perlumbaan MotoGP manakala penunggang Finland, Niki Tuuli dari pasukan Petronas Sprinta Racing terbabas dalam saingan Moto2.
Pelumba pasukan Italtrans, Mattia Pasini melakar kejutan menyambar petak pertama dalam saingan Moto2, manakala Jorge Martin dari pasukan Del Conca Gresini akan memulakan aksi dari petak pertama pada perlumbaan Moto3. – AGENSI










