ROMPIN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang, berjaya menahan sebuah bot nelayan yang di percayai cuba menyeludup arak dan haiwan eksotik di perairan Tanjung Gemok di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 petang itu, bot nelayan itu merupakan tangkapan pertama APMM melibatkan penyeludupan arak dan haiwan eksotik yang telah ditahan kira-kira 20 batu nautika Timur Tanjung Gemok di sini.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Pahang, Kepten V.Pannir Selvan Veloo berkata, bot berkenaan dinaiki lapan nelayan termasuk seorang tekong, kesemuanya warga Vietnam berusia 25 hingga 35 tahun.
“Berdasarkan hasil risikan, bot berkenaan didapati cuba menyeludup masuk 46 karton arak dengan jenama tidak dikenali dipercayai dari luar negara dan 10 tong berisi ular laut yang dipercayai cuba diseludup keluar untuk pasaran Vietnam.
“Kita turut menjumpai tiga tan sotong gred A yang difahamkan juga cuba diseludup keluar dan hasil keseluruhan rampasan berjumlah kira-kira RM300,000,” katanya pada sidang akhbar tangkapan bot nelayan berkenaan di sini hari ini.
Tambahnya, pihak APMM juga kini masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti pemilik bot berkenaan memandangkan hasil semakan lesen bot itu dilihat meragukan.- K! ONLINE








