Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan asing Vietnam - Utusan Malaysia

Maritim Malaysia tahan dua bot nelayan asing Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH – Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya menahan dua buah bot nelayan asing Vietnam yang sedang menangkap ikan secara haram dengan hasil rampasan dianggarkan RM1.5 juta di lokasi 105.5 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini semalam.

Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, kedua-dua buah bot berkenaan ditahan pada pukul 6.30 petang dan bot kedua pada pukul 7.30 malam.

Menurutnya, dalam kejadian itu, Kapal Maritim (KM) Jujur diketuai Leftenan Komander Maritim Pazrul Niza Mohd. Mustapa sedang menjalankan Ops Damai menerima maklumat rakan maritim tentang kehadiran dua buah bot nelayan asing.

“Bertindak atas maklumat itu, KM Jujur bergegas ke lokasi dan mendapati kedua-dua bot bersama-sama awak-awaknya sedang mencuri hasil laut negara.

” Mereka dipercayai memukat secara tunda ganding yang diharamkan di negara ini. Kedua-dua bot nelayan asing itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan bagi pemeriksaan lanjut,” katanya dalam sidang media di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.

Nurul Hizam berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati 18 awak-awak nelayan asing Vietnam berumur 18 hingga 42 tahun tidak memiliki dokumen sah.

Menurutnya, salah seorang tekong dari salah sebuah bot pernah ditahan bagi kesalahan yang sama sebelum ini. 

Katanya, kedua-dua bot bersama-sama awak-awaknya masuk ke Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan, dekat sini, untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985.

Nurul Hizam berkata, pihaknya telah berjaya menahan sebanyak 31 buah bot nelayan dan 18 daripadanya adalah bot yang disyaki klon dan bot nelayan asing Vietnam. – K! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN