KUALA LUMPUR 28 Okt. – Kerajaan perlu mengambil kira pandangan masyarakat sebelum membuat keputusan memansuhkan hukuman mati.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai berkata, dalam isu pemansuhan hukuman itu yang sekian lama dilaksanakan dalam negara ini, kerajaan mestilah berlaku adil.
“Mereka (kerajaan) kena ambil kira pandangan dan kemahuan orang ramai dalam isu ini bagi mengimbangi pandangan yang diketengahkan kumpulan hak asasi manusia itu.
“Selain itu, satu kajian yang teliti mengenai implikasinya (pemansuhan hukuman mati) terhadap kadar jenayah juga perlu dibuat sebelum memuktamadkan keputusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perjumpaan Bekas Warga Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di sini hari ini.
Majlis yang dihadiri lebih 200 bekas warga IPD Brickfields itu merupakan program yang dianjurkan bagi meneruskan silaturrahim antara warganya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjurnya, Datuk Kamarudin Mat Desa berkata, ini merupakan kali kedua program itu diadakan selepas kejayaan program pertama diadakan dua tahun lepas.
“Kita akan adakan perjumpaan ini dua tahun sekali.
“Di sini, kita raikan semua warga bekas IPD Brickfields daripada pegawai kanan, pegawai rendah, pegawai awam dan keluarganya sekali,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










