KUALA LUMPUR 16 Okt. – Video seorang pekerja Petronas di Sungkai, Perak dipukul oleh seorang pelanggan berbadan besar yang ditularkan semalam, mendapat pelbagai reaksi dan kecaman netizen.
Namun apabila rakan mangsa, Aboy Anis yang menularkan video tersebut bertemu dengan dengan mangsa baru-baru ini, mangsa mengaku ada memaki lelaki berbadan besar tersebut.
Ekoran kejadian itu, difahamkan lelaki tersebut berang dan terus menarik mangsa keluar dan memukulnya.
Namun demikian, Aboy yang mempertahankan rakannya berkata, kesilapan itu bermula daripada pelanggan tersebut kerana sewaktu membuat pembayaran di kaunter, dia tidak memberitahu nombor pam yang ingin digunakan.
“Jika pelanggan tidak berpuas hati terhadap pekerja tersebut, dia tak perlu pukul pun sebaliknya boleh terus berjumpa penyelia atau ketua di situ.
“Apa-apa pun, saya akan terus dapatkan keterangan yang lebih terperinci daripada mangsa selepas ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Terdahulu, seorang wanita yang enggan dikenali mengaku bahawa pekerja tersebut adalah anak saudaranya dan dia begitu kesal dengan tindakan sekumpulan pemuda bermotorsikal tersebut.
“Anak saudara saya seseorang yang pemalu dan penularan video tersebut menyebabkan dia mengalami trauma dan enggan keluar rumah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










