Mangsa ketujuh ditemukan tanpa kepala, tertimbus hampir 10 meter - Utusan Malaysia

Mangsa ketujuh ditemukan tanpa kepala, tertimbus hampir 10 meter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 21 Okt. – Mengerikan. Itu yang boleh digambarkan mengenai penemuan mayat ketujuh tragedi tanah runtuh di Bukit Kukus, Relau, di sini petang tadi.

Selain ditemukan tanpa kepala, mangsa, Md. Abd. Jalil, 34, juga putus tangan kiri dan kaki kanannya, dipercayai akibat dihempap oleh batu besar dalam tragedi berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, lebih memilukan, mangsa yang berasal dari Bangladesh itu dikatakan tertimbus pada kedalaman antara enam hingga 10 meter ke dalam tanah.

Katanya, pengecaman mayat tersebut berjaya dilakukan oleh rakan-rakannya berdasarkan identiti unik yang dimiliki mangsa iaitu dua jari kakinya iaitu jari kelingking dan manis yang melekat.

“Kepala mangsa kemudian ditemukan tidak jauh dari lokasi mayatnya dijumpai tidak lama selepas itu.

“Bagaimanapun, keadaan badannya masih elok kecuali tiada sebelah kaki dan tangan yang juga masih belum dijumpai setakat ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Che Zaimani memberitahu, mangsa yang dilaporkan patah kaki dalam tragedi itu sebelum ini iaitu Shamim, 24, dari Bangladesh pula telah dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat kerosakan pankreas.

Pada masa sama, katanya, seorang lagi mangsa baharu dikenal pasti sebagai Laduma, 46, dari Indonesia yang mengalami cedera ringan mendakwa turut terlibat dalam tragedi berkenaan.

Che Zaimani berkata, wanita itu yang retak di bahagian tangan dan tidak tersenarai dalam kalangan mangsa hilang sebelum ini  memberitahu, ketika kejadian, dia sedang tidur di bahagian kabin seorang diri, namun sempat melarikan diri ketika runtuhan berlaku. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN