PULAU PINANG 20 Okt. – Salah seorang mangsa yang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Kukus dekat Paya Terubong petang semalam berhajat untuk membuat kenduri di kampung halamannya di Bangladesh.
Mangsa, Attarul Mohamad, 35, memaklumkan hajatnya itu kepada isterinya sebagai tanda syukur selepas dia berjaya memiliki pasport dan dapat bekerja secara sah di Malaysia.
Bapa saudaranya, Mohamad Abdul Kalam, 45, berkata, dia dan Attarul tinggal di rumah bersebelahan di Joshur Gokurghaca, Bangladesh dan hubungan mereka sangat rapat sejak kecil.
“Attarul datang bekerja di sini sejak empat tahun lalu bagi menyara isteri dan anak perempuan tunggalnya yang kini berusia lima tahun.
“Sebelum ini dia ceritakan kepada saya hajatnya itu dan lebih menyedihkan, isterinya sedang memasak untuk kenduri itu apabila dimaklumkan mengenai tragedi ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Unit Forensik Hospital Pulau Pinang di sini pagi ini.
Abdul Kalam berkata, jenazah Attarul yang juga anak lelaki tunggal daripada tiga beradik akan dihantar pulang ke Bangladesh untuk dikebumikan. – UTUSAN ONLINE










