Mana lelaki romantik? - Utusan Malaysia

Mana lelaki romantik?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU lepas, akak cun baca kolum abang hensem. Bukan main lagi up diri sendiri, dia romantik. Amboi, tolong basuh pinggan pun dikata romantik ke? Akak cun kenal ramai lelaki yang biasa basuh pinggan ni, itu pun sebab kena ­leter dengan isteri, baru nak basuh.

Apakah ciri-ciri lelaki romantik? Bukan tolong basuh pinggan setahun sekali saja tau. Banyak perkara yang orang lelaki selalu tak terfikir pun hendak buat. Sebab apa tak terfikir? Sebab malas nak fikir. Ambil mudah saja. Bila orang perempuan itu sudah jadi miliknya atau isterinya, lagilah dia malas. Malas ambil hati. Malas nak romantik bagai, tak macam masa mula-mula bercinta.

Inilah lelaki. Hangat-hangat tahi ayam. Kalau kita flashback hal-hal dia masa mula-mula bercinta dulu, mulalah ‘mati kutu’. Tak tahu nak jawab kenapa dia tidak boleh jadi macam dulu sekarang ini. Tak konsisten.

Antara ciri-ciri lelaki romantik, dekat mana saja dia berada dia akan selalu update pada isteri atau teman wanitanya. Pada masa sama sering menghantar mesej bertanyakan tengah buat apa? Bukan orang perempuan saja yang asyik bertanya, dan orang lelaki buat-buat tak baca mesej dan kalau boleh tahun depan baru hendak jawab.

Lelaki juga nampak lebih romantik, kalau hantar gambarnya di lokasi dia berada ketika itu. Orang lelaki memang jarang nak hantar gambar, selalunya perempuan sahaja. Mungkin sebab takut `kantoi, tengah dating dengan orang lain kot!

Bila orang perempuan tengah marah pula pujuklah. Bukan buat bodoh saja. Memanglah ada segelintir lelaki tidak tahu memujuk tetapi tunjukkanlah usaha anda mahu memperbaiki hubungan. Kalau tak tahu memujuk sangat, bukalah Mr. Google. Tentu ada tip-tip memujuk di situ. Tak akan ini pun akak cun nak kasi settle.

Pada hari jadinya, andalah orang pertama yang sepatutnya mengucapkan selamat hari lahir. Jangan jadi orang yang ke-31 atau ke-49. Kalau tak mampu belikan hadiah walaupun sekuntum bunga, menjadi orang pertama mengingatinya pun sudah memadai. Tapi kalau akak cun, ucapan tu ucapanlah jugalah, bab hadiah tu akak cun hendak juga.

Ambil berat pasangan anda – bukan susah pun hendak ambil berat. Kalau orang lelaki hendak isteri atau teman wanitanya sentiasa prihatin tentang dia, dia pun kenalah buat hal yang sama. Janganlah nak orang lain saja ambil berat. Itu berat se­belah namanya.

Kadang-kadang orang perempuan ni, tanya ‘u ok ke?’ Itupun dah menyentuh hatinya. Ini tidak, bukan saja tak pernah tanya, asyik cerita hal-hal diri dia saja. Time kita cerita hal diri kita, sama ada dia tertidur atau dok main telefon. Boring sungguh!

Panggillah dengan panggilan sayang atau apa-apa yang manja. Janganlah dah lama sikit hubungan panggil nama saja atau ko­nonnya nampak lebih rapat dan bersahaja panggil woi!

Lagi satu, kalau buat salah mengaku sajalah dan cepat-cepat minta maaf. Janganlah dok pusing-pusing lagi menegakkan benang yang basah. Lelaki macam ini, bosan gilalah nak hadap.

Nak tips lagi? Korang carilah sendiri di internet tak akan semuanya akak cun nak kena carikan. Akak cun pun kadang-kadang menyeru dalam hati – Wahai lelaki romantik, menjelmalah kau!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN