KETUA jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara mengakui pasukannya tidak berdepan sebarang masalah untuk menentang Arab Saudi pada aksi pembukaan Kumpulan D Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-19 di Stadium Patriot Chandrabhaga, Bekasi hari ini.
Meskipun skuad muda negara gagal mencatat sebarang kemenangan dalam empat aksi persahabatan terakhir, namun Hodak tetap yakin dengan kemampuan anak-anak buahnya untuk berdepan dengan pasukan dari Timur Tengah itu kerana telah banyak belajar pada aksi sebelum ini.
“Sebelum ini kami pilih bermain dengan pasukan yang baik pada aksi persahabatan kerana secara tidak langsung pemain dapat memperbaiki prestasi mereka terutamanya ketika bertemu Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
“Saya berkata demikian kerana negara Timur Tengah sangat baik dari segi fizikal dan sudah tentu mereka salah satu pasukan pilihan untuk kejohanan kali ini.
“Pada masa sama, saya telah memberitahu pemain bahawa ini adalah satu perkara yang baik kerana kita dianggap sebagai pasukan bukan pilihan dalam Kumpulan D.
“Kita merupakan pasukan underdog dan semua tidak memberikan harapan yang terlalu tinggi untuk kita. Perkara ini memberikan kelebihan kepada pasukan bermain dengan lebih selesa tanpa sebarang tekanan,” katanya.
Sebagai rekod pada aksi persahabatan bulan ini, Malaysia tewas 0-2 dan terikat seri 1-1 ketika berdepan UAE serta kecundang 1-3 kepada Qatar, manakala tewas tipis 0-1 kepada kelab Muscat awal September lalu di Oman.
Bagaimanapun, Hodak turut menyuarakan bahawa beliau yakin dengan pencapaian pemainnya selepas mereka muncul juara dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-19 di Jakarta Julai lalu.
“Kami telah tunjukkan sebagai pasukan yang baik selepas menang AFF dan ia menunjukkan Malaysia mempunyai pelapis yang baik apabila kami mempunyai dua pemain beraksi untuk skuad senior iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Nik Akif Syahiran Nik Mat.
“Saya rasa ia adalah satu petanda yang baik kepada pasukan untuk berdepan AFC B-19 kali ini meskipun kami perlu berdepan pasukan yang hebat dalam Kumpulan D,” ujarnya.
Selepas selesai aksi pembukaan hari ini, Malaysia dijadualkan berdepan Tajikistan pada 23 Oktober sebelum menentang China pada 26 Oktober di venue sama.
Empat pasukan terbaik bakal mendapat tiket beraksi pada kejohanan Piala Dunia B-20 tahun depan.
Pencapaian terbaik Malaysia pada saingan AFC B-19 adalah menjadi naib juara (1959, 1960) dan kali terakhir pada 1968 selepas tewas 0-4 kepada Burma di pentas final ketika Korea Selatan menjadi tuan rumah kejohanan.










