SHAH ALAM – Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam seorang wartawan, Jamal Kahshoggi yang mati di konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki.
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, negara tidak boleh menerima perbuatan tersebut berikutan satu kezaliman yang amat sangat.
“Kita tidak sokong perbuatan membunuh seorang pengkritik kerajaan,” katanya pada program bicara minda bersama beliau di Kompleks Karangkraf, Seksyen 15 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diajukan soalan penonton berhubung pendirian Malaysia mengenai pembunuhan Jamal itu.
Jamal yang merupakan kolumnis akhbar Washington Post dikatakan dibunuh pada 2 Oktober lalu selepas mangsa memasuki konsulat Arab Saudi di Istabul, Turki dengan mayatnya dikerat kepada beberapa bahagian sebelum dibuang di Hutan Belgrad, 90 kilometer ke selatan Istanbul.
Mengulas lanjut, Mahathir menzahirkan perasaan syukur bahawa Malaysia ternyata lebih jauh baik dan tidak mengamalkan kezaliman sebegitu.
“Kita pun ada orang tidak suka, tapi tidak boleh bunuh dia pasal tidak suka.
“Nasib baik, pasal dulu pun orang tidak suka pada saya. Kalau kita sistem macam arab punya sistem, mungkin saya tidak boleh bercakap hari ini,” jelasnya. – K! ONLINE











