Malapetaka tragis buat Leicester - Utusan Malaysia

Malapetaka tragis buat Leicester

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEICESTER – Pengurus Leicester City, Claude Puel mengakui nahas helikopter yang mengorbankan nyawa pemilik kelab, Vichai Srivaddhanaprabha sebagai ma­lapetaka tragis buat pasukannya.

Vichai merupaksan salah seorang daripada lima mangsa terbunuh dalam tragedi melibatkan helikopter terhempas di tempat letak kereta berhampiran Stadium King Po­wer awal pagi kelmarin.

“Ini adalah tragedi di luar dugaan buat kelab kami. Saya mengucapkan takziah dan sa­ngat bersimpati dengan mang­sa nahas helikopter. Tiada perkataan yang boleh gambarkan betapa dukacitanya saya,” kata Puel.

Terdahulu, Vichai membeli kelab yang dikenali sebagai The Foxes pada tahun 2010 dan berjaya membantu mereka mencipta sejarah terhebat bola sepak England apabila menjuarai trofi Liga Perdana England (EPL) pada musim 2015/16.

Sementara itu, penjaga gol utama Lei­cester, Kasper Schmeichel mengakui apa yang terjadi terhadap pemilik kelab ke­sayangannya itu sukar untuk dipercayai.

“Saya sangat kecewa de­ngan tragedi yang meragut nyawa pemilik pasukan kami (Vichai). Ia seperti mimpi kerana dia baru sahaja bersama pasukan ketika aksi menentang West Ham kelmarin.

“Namun, kami semua pasrah dengan takdir ini dan saya percaya jasanya cukup besar dalam mentransformasikan kelab ini selain memberi ba­nyak sumbangan kepada seluruh penduduk Leicester.

“Saya rasa tiada siapa yang boleh membalas jasa anda khususnya dalam merealisasikan impian kami memenangi trofi EPL dan bersaing dalam kancah Liga Juara-Juara buat kali pertama kali. Anda sangat luar biasa,” katanya.

Aksi Leicester menentang Southampton pada saingan Piala Liga yang dijadualkan berlangsung awal pagi esok ditangguhkan bagi menghormati pemergian Vichai. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN