KUALA LUMPUR 15 Okt. – Latihan kebakaran atau fire drill merupakan antara persediaan penting dalam usaha pencegahan kebakaran di tempat kerja namun masih ramai majikan yang memandang ringan keperluannya.
Penglibatan dalam latihan kebakaran sebenarnya memberi banyak kelebihan kepada kakitangan sesebuah syarikat khususnya dalam persediaan menghadapi situasi cemas semasa berlaku kebakaran.
Melalui latihan yang dijalankan, orang ramai diberi pendedahan mengenai cara yang betul menggunakan alat memadamkan kebakaran, menyelamatkan diri dan langkah yang perlu ketika berdepan dengan situasi kritikal.
Di samping itu, penganjuran latihan kebakaran juga memberi peluang kepada pihak bomba memantau tahap keselamatan bangunan berdasarkan reka bentuk, sumber bekalan air, persediaan alat memadam api dan sebagainya.
Namun agak mengecewakan apabila ada majikan yang beranggapan aktiviti itu tidak mendatangkan sebarang manfaat kepada pekerja dan membazirkan waktu kerja.
Antara halangan yang sering dijadikan alasan adalah kesuntukan waktu operasi syarikat untuk terlibat dalam latihan sedemikian.
Tinjauan Utusan Malaysia baru-baru ini mendapati kegagalan majikan mematuhi aspek keselamatan bangunan menjadi punca latihan itu kurang mendapat sambutan.
Antara kesalahan utama adalah ketiadaan peralatan memadam api, peralatan tidak diselenggara dan pengubahsuaian struktur bangunan yang menyalahi peraturan.
Keadaan tersebut menyebabkan ramai majikan memilih untuk tidak mendapatkan khidmat latihan kebakaran kerana menyedari risiko dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Bagi pengurus restoran, Rashida Sulaiman, 35, latihan kebakaran mampu menyediakan pekerja dengan maklumat keselamatan yang cukup untuk menyelamatkan diri ketika berlakunya kebakaran.
“Kami sebagai kakitangan boleh membantu pelanggan selain bertindak dengan lebih tenang melalui pengalaman latihan kebakaran yang pernah dilalui,” katanya.










