ARAU – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyediakan peruntukan wang zakat RM2.1 juta untuk diagihkan kepada 10,774 pelajar sekolah rendah dan menengah yang memerlukan di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs bertitah, peruntukan itu akan diagihkan segera menerusi kerjasama strategik dengan pihak pengurusan serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di seluruh Perlis.
“Seramai 5,642 pelajar sekolah rendah dan 5,132 pelajar sekolah menengah di seluruh Perlis yang terpilih akan menerima wang zakat sebanyak RM200 seorang.
“Beta berharap peruntukan ini dapat diagihkan sebelum cuti persekolahan bermula supaya dapat membantu keluarga pelajar melakukan persediaan awal sebelum bermulanya sesi persekolahan pada tahun depan,” titah baginda di Kampus Tetap, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra di sini hari ini.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyampaikan sumbangan zakat sempena program Bantuan Zakat Persekolahan MAIPs 2019 di universiti itu.
Turut berkenan berangkat hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Pelajar yang terpilih merupakan yang dikategorikan miskin di negeri ini.
Sebahagian besar rakyat daripada kira-kira 180,000 rakyat Perlis mengusahakan tanaman padi dan mempelam harumanis yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa. – K! ONLINE










