MAIPs peruntukan RM2.1 juta, bantu pelajar asnaf buat persiapan persekolahan sesi 2019 - Utusan Malaysia

MAIPs peruntukan RM2.1 juta, bantu pelajar asnaf buat persiapan persekolahan sesi 2019

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 26 Okt. – Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah menyediakan peruntukan wang agihan zakat sebanyak RM2.1 juta, khusus untuk Bantuan Zakat Persekolahan MAIPs Bagi 2019.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, keseluruhan jumlah itu adalah untuk diagihkan kepada pelajar yang dikategorikan sebagai miskin di negeri ini.

Titah baginda, ia melibatkan seramai 5,642 orang pelajar sekolah rendah dan 5,132 orang lagi ialah pelajar sekolah menengah.

“Setiap daripada penerima bakal memperoleh sebanyak RM200 seorang.

“Berbanding peruntukan tahun lalu, jumlah peruntukan yang hampir sama turut diagihkan kepada seramai 11,959 orang pelajar,” titah baginda yang juga Yang Dipertua MAIPs.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan MAIPs bagi 2019 di Tapak Festival Konvokesyen Kali Ke-13 (Festkon13), Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Pauh Putra, di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.

Turut hadir ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan.

Program tahunan pada kali ini adalah anjuran MAIPs dengan kerjasama Unimap dan Jabatan Pendidikan negeri.

Baginda seterusnya bertitah, sumbangan itu akan disalurkan melalui kerjasama pihak pengurusan dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah di seluruh Perlis.

Baginda juga berharap ia dapat diagihkan sebelum bermulanya cuti sekolah bagi membantu para pelajar membuat persediaan awal sebelum bermula sesi persekolahan 2019. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN