Mahkamah perintah tiga suspek disyaki terlibat langgar lari dilepaskan - Utusan Malaysia

Mahkamah perintah tiga suspek disyaki terlibat langgar lari dilepaskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan tiga suspek yang
disyaki terlibat dalam kes langgar lari di hadapan bangunan Shaftbury, Cyberjaya
sehingga menyebabkan kematian seorang kakitangan Telekom Malaysia Bhd. (TM)
dilepaskan daripada tahanan reman serta merta.

Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman memerintahkan keputusan tersebut selepas membenarkan permohonan semakan tahanan reman yang dikemukakan ketiga-tiga suspek terhadap keputusan Mahkamah Majistret Sepang pada 23 Oktober lalu.

Ab. Karim dalam penghakimannya berkata, selepas menyemak perintah tahanan reman, mahkamah mendapati permohonan yang dibuat bagi reman terhadap ketiga-tiga suspek
dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan tidak menunjukkan bahawa suspek dilepaskan
dahulu daripada tahan reman sebelumnya dan ditangkap semula.

“Ini menjadikan permohonan reman itu merupakan sambungan kepada reman kedua yang
menyalahi Seksyen 117 sub seksyen 2 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ), ditambah lagi majistret tidak memberi apa-apa sebab penahanan (reman). Ini bertentangan dengan Seksyen 117 sub seksyen 7 KPJ.

“Dengan ini mahkamah menyemak perintah yang dibuat Mahkamah Majistret Sepang dan
ketiga-tiga suspek dilepaskan serta merta sebelum pukul 5 petang ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Dinesh Muthal berkata, pihaknya percaya majistret terkhilaf ketika mengeluarkan perintah reman selama lima hari bagi siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 117 KPJ tidak membenarkan pihak polis untuk menangkap semula suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan menggunakan fakta-fakta yang sama ketika permohonan reman di bawah Seksyen 41 APJ.

Empat peguam lain yang mewakili ketiga-tiga suspek ialah Jeremy Yinesh, Mohd. Redzuan Mohamad Yusoff, Mehnagha Luckhmana, Nur Siti Fairuz Roslan, Luqman Mazlan dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Nazneen Zulkifli mewakili responden.

Kosmo! Online pada 23 Oktober lalu melaporkan bahawa tiga suspek yang terlibat dalam kes
langgar lari di hadapan bangunan Shaftbury, Cyberjaya sehingga menyebabkan kematian
seorang kakitangan Telekom Malaysia Bhd. (TM) disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun
Keseksaan kerana membunuh.

Sehubungan itu, ketiga-tiga suspek iaitu suspek utama warga Libya yang juga pemandu kereta dan dua lagi rakannya, warga Libya dan Yemen itu direman lima hari. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN