MAHB ubah 5 lapangan terbang - Utusan Malaysia

MAHB ubah 5 lapangan terbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Okt. – Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) dalam proses memberi nafas baharu dengan menjadikan lima lapangan terbang antarabangsa kendaliannya sebagai lapangan terbang destinasi gaya hidup, sekali gus meningkatkan pendapatan runcit kepada kumpulan itu.

Pengarah Urusan Kanan Perkhidmatan Komersialnya, Mohammad Nazli Abd Aziz berkata, lapangan terbang itu adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KUL), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI).

Mohammad Nazli berkata, usaha format semula lapangan terbang tersebut yang akan dilaksanakan secara berperingkat, bermula di LGK pada suku keempat tahun lepas dan akan siap tidak lama lagi.
Keseluruhan usaha itu berkemungkinan besar memakan masa lima tahun untuk disiapkan, katanya.

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan butiran perbelanjaan modal bagi tujuan inisiatif berkenaan.

“Industri penerbangan akan mengalami perkembangan sekurang-kurangnya tiga kali dalam tempoh 10 tahun akan datang. Oleh itu, (peluang) minimum bagi perniagaan runcit berkembang juga sekitar tiga kali.

“Kami membuat pelaburan dalam infrastruktur teknologi yang memiliki analisis runcit…matlamatnya adalah untuk memastikan para pelanggan mendapat manfaat (daripada e-dagang),” katanya kepada pemberita selepas mengadakan taklimat mengenai usaha format semula lapangan terbang itu di sini semalam.

Mohammad Nazli berkata, pengendali lapangan terbang itu juga telah membuka tender bagi ruang runcit di KUL baru-baru ini manakala tender ruang sama di PEN akan dibuka pada pertengahan November dan KCH pada akhir November. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN