KUANTAN 21 Okt. – Seorang pesara guru di sini terpaksa menanggung kerugian RM57,000 akibat ditipu sindiket Macau Scam, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku apabila mangsa seorang wanita berusia 56 tahun itu menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa pegawai dari Public Bank Kuala Lumpur.
Beliau berkata, lelaki berkenaan mendakwa mangsa ada membuat pinjaman peribadi berjumlah RM70,000 dan mempunyai tunggakan selama tiga bulan.
“Mangsa menafikannya dan selepas itu disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban dikenali Inspektor Ridhuan yang mendakwa mangsa terbabit dengan kes pengedaran dadah.
“Pegawai polis itu turut mendakwa aset mangsa akan disita dan dikehendaki memindahkan kesemua wang simpanannya ke akaun audit yang diberikan oleh suspek,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa memindahkan wang simpanannya ke dalam dua akaun diberikan suspek menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM57,000.
“Bagaimanapun mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini setelah merasakan ditipu apabila suspek memintanya menambah bayaran,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE










