MELAKA 21 Okt. – Lembaga Perumahan Melaka (LPM) sudah mengajukan masalah kerosakan lif di setiap blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Krubong di sini kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Pengarah Eksekutifnya, Saleh Mohd. Dom berkata, terdapat dua buah lif di setiap blok dan satu daripadanya terletak di bawah seliaan LPM manakala satu lagi lif di bawah seliaan kontraktor utama yang dilantik oleh KPKT.
Menurutnya, kesemua lif yang tidak berfungsi lebih daripada setahun itu masih di bawah tanggungjawab kontraktor utama dan LPM tidak mempunyai kuasa untuk memberi arahan kepada pihak berkenaan.
“Bagaimanapun, kita telah berhubung dan menghantar laporan mengenai kerosakan lif tersebut kepada pihak KPKT agar kementerian itu boleh mengambil tindakan lanjut termasuk mengarahkan kontraktor terbabit untuk menyegerakan proses baik pulih.
“Namun kita tidak pasti dan tidak boleh memberi jaminan bila lif itu boleh dibaiki oleh pihak kontraktor utama,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, baru-baru ini.











