KUALA SELANGOR – Longgokan sampah yang banyak antara punca awal penyebab mendapan tanah di jambatan kecil jalan lama Universiti Selangor (Unisel) Kampung Rantau Panjang di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badliza Mohd. Nor berkata, hasil pemantauan dilakukan skuad unit pengurusan bencana negeri mendapan itu turut dibantu paras air sungai Selangor yang tinggi dan laju yang menyebabkan struktur penghadang jambatan itu mendap.
Katanya, mendapan tanah di jambatan tersebut dikesan berlaku pada pukul 10.15 malam.
“Mendapan tersebut berlaku pada jarak 6 meter dengan laluan berkenaan telah ditutup kepada semua lalu lintas bagi memastikan keselamatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Selangor dalam kenyataannya memaklumkan bahawa mendapan tersebut mengakibatkan jambatan itu terputus pada Kilometer 2.0 dan 2.1 membabitkan laluan sepanjang 30 meter.
“Para pengguna telah dinasihatkan menggunakan laluan alternating melalui Jalan Rawang ke Jalan Raja Musa dan Jalan Timur Tambahan,” katanya. – K! ONLINE











